Loading

Ramadhan: Sahur Menurut Sunnah Rasulullah SAW

| Posted in , ,

puasa cara nabi
buah kurma



Kita memulakan hari pertama Ramadhan dengan bersuhur terlebih dahulu sebagai amalan praktikal puasa. Suhur merupakan satu ibadat yang sangat besar di sisi Allah SWT dan rasul SAW bahkan ia merupakan ciri-ciri muslim. Pada zaman Nabi SAW mereka membezakan antara puasa yahudi, nasrani dan muslimin di mana pada puasa muslimin itu mempunyai suhur.
Perkataan sahur yang digunakan dalam bahasa melayu berasal daripada perkataan suhur yang bererti perbuatan bangun sebelum fajar untuk makan. Adapun perkataan sahur pula bererti makanan yang dihidangkan ketika bersuhur.
Kelebihan dan hikmah difardhukan sahur
1. Membezakan puasa kaum muslimin dengan puasa yahudi dan nasrani
Daripada ‘Amru bin Al ‘Ash, sesungguhnya Nabi SAW bersabda,
فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ
Maksudnya: “Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahlul kitab adalah makan sahur.” (riwayat Muslim)
Apabila disebut beza puasa kita dengan puasa ahlul kitab, ini menunjukkan ia bukan suatu perkara yang ringan kerana antara dasar dan prinsip agama kita adalah mengelakkan daripada tasyabbuh (menyerupai) golongan-golongan kuffar. Sabda Nabi SAW,
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia adalah daripada kaum tersebut.” (riwayat Abu Dawud)
Sebab itu kadang-kadang sekiranya hadis ini difahami dalam bentuk yang terlalu literal akan menyebabkan orang yang memakai pakaian atau seluar yang berasal dari barat atau mencontohi gaya orang barat berpakaian contohnya seluar jeans, akan digelar Nasrani.
Pada pendapat saya, seluar jeans yang dipakai jika longgar, tidak menampakkan bentuk tubuh badan, menutup aurat dan tidak menggambarkan ciri-ciri maksiat seperti lukisan bergambar dan sebagainya maka tidak menjadi masalah untuk dijadikan pakaian. Cuma di sana ada perkara-perkara yang dibicarakan oleh para ulama agar seorang muslim itu menjaga himmah (kredibiliti), contohnya seorang guru mungkin tidak ada masalah untuk mengajar sambil memakai seluar jeans yang menepati syara’ tetapi berkemungkinan dengan cara dia berpakaian tersebut akan menyebabkan penuntut ilmu menjadi ragu-ragu untuk mengambil ilmu daripadanya.
Sebab itu para ulama salaf sangat menjaga penampilan mereka sehingga terbuku kitab-kitab yang membicarakan secara khusus tentang menjaga himmah.
Bab kredibiliti dan menyerupai orang kafir adalah dua bab yang berbeza. Walaubagaimana pun kita tidak menafikan bahawa memang ada ulama-ulama kita yang berusaha menjaga agama, mereka berpandangan tegas di dalam isu ini.
Sebab itu kita mendengar perbahasan-perbahasan ahli ilmu sebahagiannya menjelaskan tentang hukum memakai tali leher; ia bukan pakaian Islam tetapi berasal daripada barat. Orang yang memakainya pula beranggapan pandangan sebegitu adalah pandangan yang kolot dan jumud tetapi yang mengkritik itu sendiri meninggalkan kewajipan sebagai seorang muslim seperti tidak menyimpan janggut dan sebagainya. Ini masalahnya pula, dia mengkritik perkara-perkara yang datang daripada Islam tetapi pada masa sama dia sendiri tidak mengamalkan Islam.
Para ulama bukan saja-saja mengeluarkan hukum, mereka berusaha agar tidak wujud di sana tasyabbuh. Sebab itu jangan terkejut dengan adanya pandangan yang lebih tegas, sehingga ada kitab khusus yang membicarakan hukum makan menggunakan sudu dan garfu.
Walaubagaimana pun fokus kita dalam perbahasan ini adalah membicarakan tentang suhur. Jelas bahawa suhur membezakan antara puasa orang Islam dan puasa ahli kitab. Maka kita mesti berusaha untuk bersuhur walaupun hanya dengan seteguk air.
2. Pada sahur itu ada keberkatan
Sabda Nabi SAW,
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
Maksudnya: “Bersahurlah, kerana sesungguhnya pada sahur (makanan) itu ada keberkatan.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Begitu juga sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Hibban,
السَّحُوْرُ كُلُّهُ بَرَكَةٌ فَلاَ تَدَعُوْهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِيْنَ
Maksudnya: “(Makanan) Sahur itu seluruhnya adalah berkat, maka itu janganlah kalian meninggalkannya walaupun hanya dengan seteguk air, sesungguhnya Allah dan para Malaikatnya mendoakan orang-orang yang bersahur.”
Walaupun hanya dengan seteguk air kita dituntut juga untuk memakan sahur.
Makanan terbaik untuk bersuhur
Perkara ini adalah faedah yang boleh dipetik daripada hadis Nabi SAW. Sabda Nabi SAW,
نِعْمَ سَحُوْرُ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ
Maksudnya: “Sebaik-baik sahurnya mukmin itu adalah dengan tamar.” (riwayat Abu Daud)
Tamar ialah kurma kering, sama ada ia dibiarkan kering di tangkai ataupun ia dipetik dan kemudian dijemur. Ia berbeza dengan ruthab iaitu kurma basah. Berbeza juga dengan balah iaitu kurma muda. Kurma ada jenis-jenisnya, seperti kurma ‘ajwa yang Nabi sebutkan secara khusus di dalam hadis, kurma ajwa biasanya dibiar kering di tangkai.
Jadi apabila tiba masa untuk bersuhur, Nabi SAW memilih kurma kering. Apabila Nabi menyebutkan “sebaik-baik” bererti ada kebaikan untuk kita memakan tamar ketika bersuhur.
Sekiranya tidak ada makanan, sudah kenyang atau tidak ingin makan maka minumlah sekurang-kurangnya seteguk air.
Melewatkan untuk bersuhur
Dari Anas beliau meriwayatkan daripada Zaid bin Tsabit,
تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً
Maksudnya: “Kami dulu pernah makan sahur bersama Rasulullah SAW lalu baginda bangun untuk melakukan solat.” Aku -Anas- berkata, “Berapakah jarak antara azan (maksudnya iqamah) dengan makan sahur?” Zaid menjawab, “Dengan kadar waktu yang diperlukan untuk membaca lima puluh ayat.” (riwayat Al Bukhari dalam Kitab as-Shiyam)
Maksud azan yang diertikan dalam hadis ini ialah al-iqamah. Di negara kita ada diletakkan waktu imsak iaitu 10 minit sebelum masuk waktu subuh. Mereka menetapkan waktu imsak ini atas dasar berhati-hati. Tetapi tiada dalil daripada hadis Nabi yang menetapkan waktu imsak.
Imsak yang mereka tetapkan adalah waktu mula menahan diri daripada makan dan minum, sedangkan waktu mula menahan diri kembali kepada waktu mula berpuasa, iaitu apabila telah terbit fajar shadiq. Jadi waktu imsak yang sebenarnya adalah apabila masuknya waktu untuk solat subuh. Dan jarak antara azan subuh dengan solat subuh itu adalah lebih kurang 50 ayat.
Ini yang diceritakan oleh para sahabat RA. Maksudnya di sini ialah Nabi SAW melewatkan waktu bersuhur. Nabi tidak makan sahur pada jam 2 atau 3 pagi. Apabila Nabi melewatkan makan sahur, berlaku beberapa isu seperti kata Nabi SAW di dalam hadis,
إِذَا سَمِعَ أَحَدُكُمُ النِّدَاءَ وَالإِنَاءُ عَلَى يَدِهِ فَلاَ يَضَعْهُ حَتَّى يَقْضِىَ حَاجَتَهُ مِنْهُ
Maksudnya: “Jika salah seorang di antara kalian mendengar azan sedangkan bekas makanan terakhir masih ada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya hingga dia menunaikan hajatnya (makan) hingga selesai.” (riwayat Abu Dawud, dinilai hasan sahih oleh Albani)
Ini menunjukkan bahawasanya pada zaman Nabi SAW telah berlaku isu atau situasi di mana orang masih makan ketika azan dikumandangkan. Ini sekali lagi membuktikan bahawa pada zaman Nabi, waktu suhur itu dilewatkan, bukan diawalkan dan tidak wujud istilah imsak pada masa itu. Kita boleh makan sehingga diyakini telah terbit fajar shadiq.
Hukum bersuhur
Dari hadis-hadis yang lalu maka dapat disimpulkan di sini bahawa hukum bersuhur adalah sunnah muakkadah berdasarkan tiga qarinah (bukti); pertama ialah perintah Nabi supaya bersuhur, kedua bersuhur membezakan puasa muslimin dan puasa ahli kitab, ketiga larangan Nabi SAW daripada meninggalkan suhur.
“Sahur itu makanan yang dipenuhi dengan keberkatan, maka janganlah sama sekali kalian meninggalkan ia.” (riwayat Ibn Hibban)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...