Loading

Batas Aurat Wanita dalam Solat

| Posted in ,

Aurat ialah bahagian tubuh yang tidak boleh kelihatan atau wajib ditutup menurut hukum Islam.Menutup aurat itu sebahagian daripada syarat sah solat,tidak kira bagi lelaki mahupun wanita.


Secara ringkasnya,aurat bagi wanita dalam solat ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangannya.Manakala bagi lelaki pula,auratnya adalah antara pusat dan lutut.Jika diteliti,sebenarnya aurat wanita mahupun lelaki dalam solat itu sama dengan aurat mereka bersama ajnabi walaupun di luar solat.

Anjuran Menutup Aurat Kala Solat

Anjuran agar menutup aurat dalam solat termaktub dalam al-Quran al-Karim.Allah s.w.t berfirman yang bermaksud "Wahai anak-anak Adam!Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat(atau mengerjakan solat)."(Surah al-A'raf 7:31).
Ayat ini turun bersebab.Diriwayatkan daripada Ibn Abbas dalam Tafsir al-Tabari bahawa pada zaman jahiliyyah dulu ada golongan yang bertawaf tanpa pakaian di Baitullah.Menurut kebanyakan mufasirin,yang dimaksudkan dengan kata zinah dalam konteks ayat di atas ialah pakaian yang menutup aurat,manakala yang dimaksudkan dengan masjid pula ialah solat.Jadi dapat difahami daripada ayat di atas saranan menutup aurat ketika hendak menunaikan solat.

Safiyyah binti al-Harith meriwayatkan daripada Aisyah r.ha sabda Rasulullah s.a.w berikut yang bermaksud:"Tidak diterima solat seorang wanita haid(iaitu wanita yang telah baligh,bukannya wanita yang berada dalam haid kerana wanita haid dikecualikan solat atasnya) kecuali jika ia memakai tudung."(riwayat al-Tirmizi dan Abu Daud.Menurut al-Tirmizi,hadis ini hasan)
Menurut Imam al-Tirmizi,ulama telah beramal dengan hadis ini,iaitu wanita yang solat,seandainya terdedah sebahagian kecil rambutnya,maka solatnya tidak dibenarkan.(Sunan al-Tirmizi,jil.2 ,hlm. 215)

Batas dan Paras Aurat

Ulama berselisih pendapat mengenai batas aurat wanita dalam solat kepada beberapa pendapat sepertimana yang dinukilkan Abdul Karim Zaidan dalam kitab fiqah perbandingan mazhab beliau,al-Mufassal fi Ahkam al-Mar'ah.

 Hanbali - Seluruh badan kecuali muka,kecuali ada dua riwayat daripada Imam Ahmad yang mengatakan seluruh badan kecuali wajah dan tapak tangan.

Maliki dan Syafi'ie- Seluruh badan kecuali wajah dan kedua-dua tapak tangan.

Hanafi - Seluruh badan kecuali wajah,kedua-dua tapak tangan dan kaki.
aurat
wahai wanita,tutuplah aurat kamu
sebagaimana kamu tutup aurat
kamu di dalam solat

Andai Ragu-Ragu


Mungkin ada wanita yang berasa syak dan waswas,terasa seolah-olah sebahagian
auratnya terdedah walaupun pada awalnya dia yakin bahawa aurat telah ditutupnya dengan sempurna.Jika yakin telah bertapak dalam hati sebelum itu,maka rasa syak dan waswas tidak akan memberi kesan kepada solatnya.Teruskan dan sempurnakan solat seperti biasa.Ini berdasarkan satu kaedah yang mahsyur dalam fiqah,"al-yaqin la yazalu bi al-syak",yang bermaksud ,rasa yakin tidak akan hilang dengan keraguan.

Terdedah Aurat semasa Sedang Solat

Apakah hukum solat andai aurat tiba-tiba terdedah sewaktu solat?

Hanbali - Sekiranya terdedah sedikit aurat selain wajah dan tapak tangan dalam tempoh yang pendek,maka ia dimaafkan.

Hanafi - Terdedahnya aurat yang sedikit tidak membatalkan solat,tetapi andai aurat yang terdedah agak banyak maka batal solatnya.Imam Abu Hanifah mengukur kadar banyak aurat yang terdedah dengan kadar 1/4.Andai yang terdedah kurang dari 1/4 ,maka ia dikira tidak membatalkan solat.

Shafi'ie - Sekiranya aurat terdedah walau sedikit atau banyak,lelaki mahupun wanita,sama ada solat sendirian atau berjemaah,maka batallah solat individu tersebut.

Aurat mungkin terdedah ketika solat di tepi pantai akibat tiupan angin,ataupun tiupan kipas angin sehingga terdedah aurat.Mungkin juga anak kecil menarik pakaian solat ibunya ketika solat.Jika dalam keadaan demekian,segeralah tutup kembali kerana aurat itu terdedah tanpa disengajakan.Kemudian sempurnakanlah solat tersebut.
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...